Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecap, negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula penyelesaian harus diimplementasikan untuk merungkaikan masalah ini bak kata peribahasa, tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni.
Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. Memetik kata-kata azimat Lao tze, kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan. Lantaran itu, kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri dan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat menarik penyertaan khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai yang ampuh untuk merungkaikan masalah kenaikan harga barangan.
Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali. Oleh itu, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan harga barangan di pasaran.
Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh, segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Oleh itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk membendung masalah tersebut. Oleh itu, Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat, Tun Mahathir bin Mohamad bukan lagi menjadi angan-angan Mat Jenin