Quantcast
Channel: LAMAN BLOG CIKGU TAN CL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 558

BENGKEL PENULISAN KARANGAN BAHAN RANGSANGAN DI SEKOLAH MENENGAH PERSENDIRIAN CHUNG HUA, KLANG

$
0
0
Untuk menulis karangan yang baik, sama seperti kita mendengar lagu yang baik dihasilkan. Saya yakin bahawa melodi serta liriknya akan terpahat kukuh dalam sanubari kita. Kalau lagu memerlukan lirik, melodi, lenggok, dan tempo yang betul, karangan memerlukan idea yang bernas, huraian yang matang, dan bahasa yang gramatis lagi cemerlang dengan kosa kata bertaraf tinggi dan laras bahasa yang segar lagi menarik. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak sekolah Sekolah Menengah Persendirian Chung Hua, Klang yang mengundang saya untuk merealisasikan bengkel penulisan SPM untuk bahagian bahan rangsangan. Sesungguhnya, melodi dan lagu tidak dapat dipisahkan, karangan dan murid tidak dapat direnggangkan.
Terima kasih saya ucapkan kepada Digital Academy yang merakamkan plot bengkel ini dengan dedikasi dan komitmen yang tinggi. Mana-mana sekolah di Lembah Klang yang mahu memanfaatkan program seperti ini bolehlah menghubungi Zuizen Melvin Lim untuk urusan perbengkelan. Saya sedia membantu sekolah dan murid yang memerlukan kemahiran mengarang, mahupun menjawab rumusan, komsas, menguasai tatabahasa mahupun mencengkam kukuh teknik menjawab novel PT3 dan SPM. Bengkel yang dirakamkan ini akan memanfaatkan tuan rumah (sekolah) secara percuma. Yang paling signifikan, pengajaran yang interaktif dan bermutu tinggi dapat disampaikan kepada murid di seluruh negara.




HASIL BENGKEL:
Eddie Leong Xing Jie
Sekolah Menengah Chung Hua (PSDN)

Pengawas ialah seseorang murid yang dilantik oleh guru disiplin untuk menjalankan tugas dalam bidang disiplin di sekolah. Selalunya, seseorang pengawas yang dilantik itu mempunyai pencapaian yang baik dalam akademik dan mempunyai sikap yang baik. Sebagai pengawas, peranan mereka pastinya lebih berat berbanding dengan murid yang lain. Persoalannya, apakah tanggungjawab sebagai seorang pengawas?

Antara tanggungjawab pengawas termasuklah perlu membantu guru dalam pelbagai perkara. Hal ini dikatakan demikian kerana pengawas lebih berupaya untuk melaksanakan tugas yang diberikan oleh guru dengan penuh tanggungjawab. Sebagai contohnya, pengawas dapat membantu guru untuk mengajar pelajar yang lemah dalam akademik mahupun menjayakan sesuatu majlis di sekolah. Dengan ini, beban guru yang sememangnya berat dapat diringankan. Jelaslah bahawa sudah menjadi tanggungjawab pengawas untuk membantu guru di sekolah.

Selain itu, pengawas berperanan untuk meningkatkan disiplin pelajar. Hal ini dikatakan demikian kerana pengawas mudah untuk mengenal pasti dan menangkap pelajar yang melanggar peraturan sekolah . Misalnya, pengawas yang bertugas pasti membuat rondaan di sekeliling sekolah pada masa rehat. Oleh itu, pelajar yang ditangkap kerana kesalahan disiplin dapat diberi nasihat dan denda agar mereka dapat insaf akan kesalahan diri. Konklusinya, pengawas haruslah memikul tanggungjawab untuk meningkatkan kualiti disiplin pelajar di sekolah.

Seterusnya, pengawas juga bertanggungjawab untuk menjadi suri teladan kepada pelajar yang lain. Hal ini disebabkan oleh, pengawas ialah seseorang murid yang semestilah memiliki tahap berdisiplin yang tinggi. Tamsilannya, pengawas akan berbaris dengan teraturnya apabila mereka berada di kantin. Oleh sebab itu, pelajar akan mencontohi tingkah laku pengawas dan seterusnya mematuhi peraturan sekolah. Tegasnya, pengawas perlulah menjadi contoh yang baik kepada pelajar agar mereka sama-sama menjadi murid yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.

Intihanya, pengawas banyak memikul tanggungjawab di sekolah. Pengawas sekolah haruslah bekerjasama dengan sekolah dengan prinsip pepatah Melayu berat sama dipikul, ringan sama dijinjing supaya imej dan nama baik sekolah dapat ditingkatkan. Bukan itu sahaja, pengawas juga haruslah menjadi wakil pelajar untuk menyuarakan pendapat pelajar kepada pihak sekolah supaya guru dapat memahami masalah yang dihadapi oleh murid. Saya berharap agar semua pengawas sekolah akan menjalankan tugas mereka dengan bertanggungjawab.

(Karangan di atas sudah diedit dan dibaiki oleh Cikgu Tan untuk tujuan siaran di sini.)

Viewing all articles
Browse latest Browse all 558


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>